Wednesday, June 1, 2016


Cerpen: CINTA IBU



Matahari kian membakar tubuh-tubuh yang wanita yang berkerut dan separuh bongkok yang asyik sibuk mengerjakan sawah padi di belakang rumah. Dengan penuh harapan melawan panasnya api yang terus membakar belakangnya setiap hari. Hari berganti hari. Siang bertindih siang. Sungguh memerikkan. Matahari kian lembut namun wanita itu masih menggunakan segala tenaga untuk sesuap nasi. Satu demi satu disapunya keringat yang membasahi mukanya yang berkedut. Kulitnya hangus dan kering. Itulah yang digelar Ibu.

          Setiap hari Ibu pergi mengerjakan sawah dan memotong kayu di hutan. Belum timbul lagi matahari, ibu sudah bersemangat mendapatkan duit bagi menyekolahkan Along. Ayah sudah tidak lagi dapat bekerja kerana lumpuh akibat dirempuh sebuah kereta sewaktu keluar mencari rezeki. Ibulah yang mengambil alih tempat Ayah untuk membesarkan Along tanpa sebarang keluhan. Di matanya penuh dengan harapan dan kasih sayang akan Along dan suaminya.

          “Along bangun nak, hari ni Along sekolah kan? Bangunlah Along. Along kan dah janji nak belajar rajin-rajin, bila dah berjaya Along nak jaga Ibu dengan Ayah kan?”

          Beginilah setiap hari Ibu melayan karenah anaknya yang baru setahun jagung dan masih mentah pemikirannya. Kehidupan yang sederhana seperti ini sungguh menguji kekuatan Si Ibu. Dia juga percaya dengan kata-kata ilmu, ilmu pendidikan mampu memajukan diri, ilmu berguna kelak, dalam hatinya.

          “Awal lagi Ibu, kejap lagi Long bangunlah Ibu.” Kata  si anak yang masih separuh sedar kepada ibunya.

“Ibu tau Long, tapi Ibu nak ke sawah ni, Long bangun lah. Nanti Ibu siapkan makanan untuk Along ke sekolah.” Lembut kata-kata yang dikeluarkan oleh wanita tua itu.

          Along bangun dari tilam yang empuk. Walaupun sedikit buruk namun itulah kasih seorang wanita yang bergelar Ibu. Anaknya bergeliatkan dan membuka mulutnya seluas-luas yang boleh, seakan-akan anak kucing yang baru dari tidur. Terbayang di wajah dia seorang putera yang gagah dan bijaksana yang ingin pergi berjuang, berjuang demi kasih bondanya dan ayahandanya. Terdengar sedikit keluhan dari si anak.

Ibu menampakkan senyuman lebar kepada anaknya. Di matanya penuh dengan harapan. Anaknya mengambil kain pelikat dan terus ke belakang rumah untuk mempersiapkan diri. Dia pula terus pergi ke dapur untuk menyiapkan bekal untuk anak kesayangannya.

          Ibu menghidupkan api dapur yang usang itu. Kelihatan beberapa puntung kayu api yang masih tinggal berhampiran dapur yang naif. Sesekali dia ingin juga mendapat dapur yang moden. Hanya sekali memutarkan picunya dapat menlahirkan api. Teringin juga memasak sambil didendangkan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.

Dia kembali ke alam lamunan. Memikirkan anakku setiap pagi. Bangun dengan penuh keterpaksaan. Ibu tidak mahu anak Ibu sesal dan susah seperti ini. Beratapkan daun nipah dan beralaskan daun mengkuang. Melawan panas terik setiap hari demi membesarkan Along dan Ayah. Ya Allah berilah kekuatan untukku dan keluargaku.

“Sihhhhhhhhhhhhhh.” Bunyi kerepok goreng di dalam kuali. Ibu mengambil kerepok dan memasukkannya di dalam bekas makanan di atas meja. Meja yang rapuh dan buruk. Seingat Ibu, meja itu dibeli oleh Ayah ketika baru-baru berkahwin dan sekarang meja itu berusia 15 tahun. Kata-kata Ayah masih terpahat dalam kota ingatan Ibu. Ibu, ini saja Ayah mampu buat sekarang. Nanti Ayah berjanji akan hadiahkan Ibu sepasang baju kurung yang indah. Tersenyum dia mengenangkan peristiwa itu sehingga menitiskan air mata.

“Ibuuuuuuuuu.” Jerit Along memanggil ibunya. Ibu cepat-cepat menyapu titisan air mata yang mengalir di pipi kedutnya dan segera pergi ke dalam bilik anaknya. “Kenapa ni Long?” Tanya Ibu kepada anaknya dengan sungguh-sungguh.

“Ni Ibu beg Along terkoyaklah Ibu. Hmmm macam mana ni Ibu? Mesti kawan-kawan Along ketawakan Along sebab beg Along koyak. Sudahlah buruk. Malas Along pergi sekolah macam ni Bu.” Kata anak yang sedikit tidak senang hatinya.

Kadang-kadang tabiat anaknya membuatkan dia geli hati. Apa tidaknya, sikit-sikit merungut, memberontak, menangis, mengeluh kerana disuruh mengambil air untuk Ayahnya. Benar mereka masih kecil dan perlu diasuh dengan penuh dedikasi sebagaimana seorang Tok Guru mengajar anak muridnya tentang ilmu agama.

“Mari Ibu tengok beg Long.” Ibu mengambil beg sekolah Along. Dan melihat hanya terdapat sedikit koyakkan kecil. Barangkali kerja tikus kerana rumahnya sering didatangi tikus kerana dinding rumah banyak lubang. Atau boleh jadi kerana Along membawa buku yang terlalu banyak.

Suasana terdiam seketika. Anaknya menundukkan mukanya ke celah-celah lantai yang berlubang itu. Seakan-akan mencari sesuatu yang terjatuh di celah lubang lantai itu. Dia sudah dapat menganggap tingkah laku budak mentah itu. Anaknya mahukan beg yang baru. Dia mengangkat muka tewas anaknya itu sambil menampakkan senyuman yang paling manis.

“Ibu tau Long mahukan beg sekolah yang baru kan? Nanti Ibu belikan ya.” Kata Ibu kepada Along dengan harapan anaknya akan kembali gembira dan bersemangat. Terdengar akan kata-kata itu, anaknya melompat anak kegembiraan kerana mendapat beg baru. Tabiat begitu tidak asing kepada kanak-kanak yang sudah berusia sembilan tahun itu. Dia sebagai Ibu apa kurangnya tumpang gembira kerana dapat melihat anak yang keluar dari pangkal rahimnya sendiri.

“Terima kasih Ibu, Along sayang Ibu. Along janji Along akan berlajar rajin-rajin Bu.” Anaknya mula gembira dan tersenyum.

Along mengambil bekal makanannya dan pergi ke sekolah dengan riang sekali hatinya. Dengan menaiki basikal mini yang sering dinaiki oleh ayahnya. Basikal mini itu adalah jentera bagi membawa kerepok goreng yang akan dijual di dalam kampung sebelum ayahnya mengalami kemalangan. Dan tidak dapat bergerak lagi.

Dia memandang sambil matanya mula mengandungkan air yang jernih. Di dalam hatinya tidak pernah mengalah dari melihat anaknya bahagia dan gembira setiap hari. Walaupun hidup dalam penuh kemiskinan namun dia tidak mempunyai alasan untuk membuatkan anaknya tidak bahagia. Walaupun anak itu tidak kenal makna disebalik mencari wang bagi mengisi perut yang semakin membesar. Anaknya kian hilang dalam pandangan namun dia masih tidak mengalihkan matanya dari memerhati arah itu.

“Ibu, sungguh besar cintamu kepada anak dan Ayah. Ayah berasa sungguh gembira dan bertuah memiliki seorang isteri malah seorang ibu kepada anak Ayah yang berjiwa besar dan tabah. Ayah tahu tugas yang dipikul oleh Ibu adalah tersangat beratnya. Maafkan Ayah kerana tidak dapat melakukan apa-apa, apatah lagi membahagiakan Ibu dan Along, bahkan Ayah juga beban kepada Ibu dan Along.”

Kata-kata yang dikeluarkan oleh suami tercintanya itu membuatkan dia sebak dan nafasnya tersedu-sedu. Bukan kerana dia tidak dapat menerima kenyataan. Tapi disebabkan dia tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dari suaminya yang terlantar di atas tikar mengkuang itu. Malah dia sungguh bahagia kerana dapat menjaga makan dan minum suami dan anaknya. Dia cuma berdiam diri di sisi pintu rumah dan juga hanya mampu mengalirkan airmatanya tapi tidak ditunjukkan.

“Ayah janganlah berkata begitu, Ibu sungguh bahagia dapat hidup dalam rumah kecil ini bersama Ayah dan anak kita. Walaupun Ibu tahu Ayah masih tidak senang melihat Ibu bekerja tapi apa kan daya Ibu. Ibu bersyukur kepada Allah kerana Ayah mampu menyediakan sawah kepada kita. Dan dapat menringankan sedikit beban ini.” Kata Ibu kepada Ayah sambil melemparkan pandangan mata dan senyumannya.

Dia meminta izin dengan suaminya untuk pergi ke sawah bagi mencarikan sesuap nasi untuk menyara keluarganya. Dia mengambil sabit dan parang yang terletak di belakang rumah. Tidak juga lupa kerepok goreng disertakan sebotol air bagi mengharungi hari ini. Seperti biasa, dia akan pergi mencari kayu api dahulu di dalam hutan. Sesudah mendapatkan kayu-kayu itu, dia tidak terus pulang. Dia akan singgah di sawah bagi mencatas rumput panjang. Boleh dikatakan setiap hari dia melakukan kerja-kerja begini.

Setelah selesai, dia membawa kayu-kayu api dan padi yang telah dikutip pergi ke pasar. Kedudukan pasar dengan rumahnya agak jauh mengambil masa sejam lebih untuk sampai ke sana. Matahari sudah terpacak betul di atas kepalanya. Namun dia masih bersemangat untuk mendapatkan wang. Wang itu untuk membeli beg baru Along. Dalam hatinya tidak lepas dari melihat keluarga bahagia dan berjaya.

Kayu api dan padinya dijualkan pada tauke cina yang bernama Ah cheng. Ah Cheng sudah mengenali dia kerana dia sering menjual sumber tenaga dan makanan kepadanya. “Wah, Siti banyak kayu hari ni? Mau bikin duit lebih ka? Selalunya kamu banyak sedikit saja. Eh, bukankah Siti selalu datang hari minggu?” sapa Ah cheng kepada dia yang sedikit kehairanan.

“Selalunya begitulah Cheng. Tapi saya bukan apa Cheng. Tu Long mau beg baru katanya beg lama sudah koyak. Jadi tu pasal saya datang hari ni Cheng kalau tunggu lama-lama bercukalah muka si Along tu Cheng.”

“Bertuah sungguh si Along mempunyai ibu yang baik macam kamu Siti. Beg baru saja koyak, sudah belikan yang baru. Kalau saya sampai tiada rupa baru anak saya dapat merasa beg baru. Bukan apa tidak mahu membazirkan lagipun kalau koyak kecil-kecil tu baik jahit saja.”

Setelah selesai menjual kayu dan padi itu. Dia terus bergegas ke kedai pakaian untuk membeli beg baru untuk anaknya. Beg berwarna merah menjadi pilihannya kerana merah adalah tanda keberanian. Merah juga sering dijadikan pilihan warnanya beberapa hari sebelum ini. Dia pun tidak mengerti mengapa. Yang pasti warna merah itu juga adalah warna kesukaan Along.

Beberapa minit kemudian, dia jumpa pilihan yang paling baik untuk Along. Dengan harapan Along akan menjaga dengan baik dan gembira ketika beg ini diberikan kepadanya.  Bukan apa, kadang-kadang Along ini cerewet juga bila diberikan barang yang tidak menepati citarasanya.

Setelah membayar. Dia cepat-cepat mahu pulang ke rumah kerana ingin menyediakan makan dan minum untuk keluarganya. Dia berlari anak-anak kerana tidak sabar ingin memberikan beg ini kepada anaknya. Pasti Along akan bahagia. Walaupun beg ini tidak seberapa rupanya namun dia yakin anaknya sukakan beg ini.

Ketika dia berjalan di gigi jalan raya untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah belakang dengan sekelip mata. Dunia menjadi gelap dengan pantasnya. Air berwarna merah sama seperti beg yang dia belikan untuk anaknya mengalir tidak henti. Keadaan menjadi kelam kabut. Orang berpusu-pusu ingin menyaksikan dan menyoalkan apa yang telah berlaku.

Hari sudah lewat petang, Along masih menunggu ibunya di tangga depan rumahnya. Kedengaran bunyi perut mengaum kelaparan tapi ibunya belum lagi pulang. Ayah dan anaknya mula berasa risau kerana ibunya tidak selalu pulang lewat begini. Dalam hati anaknya, mungkin dia masih berada di sawah. Budak kecil itu berlari ke sawah namun satu bayang ibunya pun tidak nampak.

Kenderaan sebuah motosikal yang menuju ke rumahnya. Bunyinya semakin hampir dan semakin jelas bunyinya. Kelihatan seorang lelaki yang datang ke rumahnya. Along kenal lelaki itu dan masih kaku berdiri di depan rumahnya serta hanya menunggu sahaja motosikal itu datang menuju ke arah rumahnya. Along dapat merasakan bahawa ada berita buruk kerana ibunya masih belum-belum pulang.

Ekoran Along tidak dapat menahan sebak dan takut sesuatu yang berlaku kepada ibunya. Dia terus menangis sekuat-kuatnya sehingga menutup mukanya di atas tangga kerana tidak sanggup menahannya. “Along sabar ya nak. Along sudah tahu ka apa yang sudah berlaku? Along janganlah begini. Along kena terima hakikatnya.” Ah Cheng cuba menenangkan Along yang masih menangis dan menutup mukanya.

“Kenapa ni Long? Kenapa menangis di atas tangga. Along kan sudah besar. Tak malu ke sama Uncle Cheng ni.” Kedengaran suara dan kata-kata itu memecahkan tangisan Along buat sementara. Suara itu jelas dan sama seperti ibu kesayangannya. Along terus mengangkat mukanya dan memandang ke arah perempuan itu. Memang benarlah wanita itu adalah ibu kandungnya dan ditangan wanita itu memegang sebuah beg sekolah.

Tanpa berkata apa-apa, Along terus memeluk ibunya. Peluk dengan sekuat-kuatnya. “Kenapa ni Along?” dia dan Ah Cheng berasa hairan dengan tingkah laku anaknya seakan tidak pernah berjumpa.

“Aaa..long ingat Ibu kemalangan sebab Uncle Cheng cakap Ibu ke..malangan. Dan suruh Along terima hakikat.” Kata-kata Along tersekat-sekat kerana takutnya masih belum hilang.

“Issshhhh, apa Along mengarut ni? Kan Long peluk ni Ibu.” Dia berasa semakin pelik dengan kata-kata anaknya.

Ah Cheng segera memberitahu kerana dia melihat Siti dan Along masih kelihatan seperti orang asing dan tidak tahu apa-apa. Sebenarnya, sewaktu dia mahu pulang ke rumah. Cikgu Along terlibat dalam kemalangan. Dia merempuh khemah yang dipenuhi dengan longgokan buah tembikai. Hampir kesemuanya tembikai itu hancur dirempuhnya sehingga kelihatan seperti darah manusia. Tapi mujurlah cikgu Along tidak mengalami apa-apa.

Setelah mereka mendengar keterangan itu. Ibu dan Along faham situasi sebenarnya. Ah Cheng juga memberitahu Along supaya menjaga Ibu dengan sungguh-sungguh kerana Ibu adalah segalanya di dunia dan akhirat. Tanpa Ibu, Along tiada. Tanpa Ibu, Along tiada kasih sayang. Tanpa Ibu, Along bukan siapa-siapa. Setelah mendengar kata-kata itu, Along segera meminta maaf dan tidak mahu lagi menyusahkan ibunya.



MOHAMAD AZIZUL BIN IBRAHIM

(BC13110078)

No comments:

Post a Comment